TENTANG KAMI

[gtranslate]

 

PUSAT KRAF ORANG ASLI

Pusat Kraf Orang Asli Sungai Bumbun merupakan pusat setempat bagi aktiviti kraftangan dan kebudayaan Orang Asli etnik Mah Meri.

Pusat Kraf ini dibina oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 2007 di bawah program Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Pembinaan pusat ini bertujuan meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil kraftangan disamping membantu para pengusaha kraf terutama penduduk setempat untuk menjana ekonomi serta memulihara kesenian dan kebudayaan agar terus diwarisi.

Pusat Kraf diuruskan oleh komuniti Orang Asli dan di buka kepada pengunjung untuk melihat secara dekat penghasilan produk kraf dan juga kesenian kebudayaan serta gaya hidup masyarakat Orang Asli terutama daripada suku kaum Mah Meri.

Antara aktiviti yang boleh disertai oleh pengunjung dan pelancong adalah seperti :-

Demostrasi ukiran kayu
Demostrasi anyaman mengkuang dan pucuk nipah
Demostrasi menyumpit, makanan tradisi dan oerkahwinan
Tarian topeng jooh
Jualan produk kraftangan dan herba.

MAH MERI

Terdapat 18 suku etnik Orang Asli di Malaysia dan Mah Meri adalah salah satu suku etnik Orang Asli. Penempatan etnik Mah Meri hanya ada di sepanjang pantai negeri Selangor. Etnik ini terkenal dengan kesenian dan kebudayaan tradisi antaranya kemahiran mengukir kayu, anyaman dan tarian.

TARIAN JO’OH DAN TOPENG

Tarian Jo’oh merupakan kebudayaan suku kaum Mah Meri yang unik dan mendapat perhatian masyarakat terutama kalangan pelancong. Persembahan tarian diadakan bagi meraikan sesuatu majlis adat resam seperti sambutan hari Moyang dan juga sebagai mengalu-alukan kehadiran tetamu.

Penari dan pemuzik kumpulan Jo’oh ini akan dilengkapi dengan pakaian tradisi seperti baju kulit kayu terap dan aksesori anyaman daun nipah sebagai perhiasan diri.

Alat muzik yang digunakan adalah alat muzik tradisional seperti biola, tambo, gong dan tuntung. Tarian ini akan disertai oleh penari yang memakai topeng dengan gaya dan kisah tersendiri.

UKIRAN PATONG DAN TOPENG

Ukiran kayu berupa patung dan topeng dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mah Meri berdasarkan cerita-cerita tersendiri dengan motif utama adalah haiwan dan tumbuhan. Ukiran yang terkenal adalah ukiran patung Harimau Berantai yang dihasilkan oleh tokoh kraf mendiang Pion anak Bumbun, keunikan ukiran ini adalah kerana rekabentuknya iaitu rantai dan bola geliga. Ukiran ini dihasilan dari sumber mimpi dan sesuatu perkara yang melibatkan kehidupan pengukir. Seni ini juga ada kaitan dengan perubatan satu ketika dahulu